Monday 25 November 2013

Daun Yang Gugur


Assalamualaikum semua..


Lama rasanya tak update blog.. Maaflah, waktu cuti sekolah saya lebih sibuk berbanding hari biasa.. Hari ni saya nak berkongsi satu kisah..

Daun yang Gugur Tidak Pernah Membenci Angin 

Tiupan angin petang itu terasa nyaman. Aku terliuk-liuk bersama timbunan daun yang lain. Berpaut pada dahan, aku bertahan dengan tenaga yang masih tersisa. Warna hijau yang malu-malu menunjukkan warnanya sudah mula diganti dengan warna kuning...petanda aku sedang menjejaki usia tua.

Bila-bila masa sahaja angin kuat menunjukkan 'taringnya'. Jika tidak pun, tatkala tangan-tangan manusia menjolok buah dengan galah, boleh sahaja aku gugur bersama hasil buah yang mereka harapkan..
Kehidupan Adalah Peluang

Hari ini bertambah lagi usiaku. Hari yang bertambah sehari lagi bermaksud Allah masih memberi peluang untuk menambah kenangan dan pengalaman. Aku masih ingat saat budak-budak nakal membaling batu-batu kecil untuk menggugurkan buah langsat yang sedang sarat timbunan buahnya. Sakitnya bukan kepalang apabila batu-batu kecil turut terkena aku.

Apabila difikirkan semula, itu adalah kenangan yang boleh aku simpan. Yalah, jika tidak melalui perkara itu, sampai bila-bila pun aku tidak mengerti indahnya saat kanak-kanak memberi makna pada persahabatan mereka. Riang bersama ketika mengutip buah yang menjadi rezeki mereka hari itu..

Kehidupan padaku adalah satu perjalanan yang penuh hentian. Walaupun tidak lama, aku tetap harus berhenti. Berhenti untuk mengambil hikmah dalam setiap ketetapan Allah. Cukup dengan memandang diri sendiri, pelbagai jawapan yang aku peroleh..

Aku melihat sedikit demi sedikit tunas menjadi pokok, putik buah semakin hari semakin membesar dan dahan pula memenuhi pokok yang tegak berdiri. Begitu juga dengan buah yang menjadi "manfaat" pada pokok.. Sampaikan ada pepatah Arab yang menyebut : "Ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah." Akhir sekali, barulah ada kehadiranku yang menjadi penyeri pokok.

Aku turut melihat dahan-dahan yang ditebang untuk merendangkan pokok. Semua ini hakikatnya, adalah peluang padaku untuk mengerti bahawa makhluk yang hidup perlu terus bergerak mendepani masa hadapan selagi diberi peluang. Tidak perlu takut akan kehidupan akan datang yang belum pasti. Ya, seperti ketakutanku yang kerap bertandang. Takut pada angin yang bertiup!
Kehidupan Menemukan Pengakhiran

Sering dikhabarkan, impian perlu besar supaya rasa takut boleh dikecilkan. Apalah sangat pada ketakutan sebenarnya dilalui oleh semua makhluk Allah. Hatta ia dihadapi oleh manusia yang bertaraf raja sekalipun. Lantaran itu, aku perlu memasang tinggi cita-cita agar nanti sekiranya angin bertiup ia hanya terlihat picisan. Apakan impian itu?

Setiap yang bergerak, suatu hari nanti akan berhenti jua (mati), maka hakikat ini perlu aku sedari sejak awal-awal lagi. Memasang harapan untuk terus bergayut pada ranting pokok tidak mungkin sama sekali. Aku perlu akur akan prinsip kehidupan ini. Apa yang boleh aku lakukan?

Jangan menbenci angin kerana hakikatnya aku membenci pada yang mencipta angin. Impianku, suatu hari nanti jika aku gugur menyembah bumi, biarlah aku mereput, lalu bersatu dengan bahan lain untuk membentuk baja. Impianku, mahu menyebarluaskan manfaatku kepada yang lain biarpun setelah aku tiada. Maha Suci Allah yang ditakdirkan sesuatu bukan dengan sia-sia.  

Thanks to : Gen-Q

No comments :