Wednesday 2 October 2013

Pemadam : Analogi U-Turn Sebuah Kehidupan


Assalamualaikum semua...


Apa khabar pembaca setia dan followers blog saya ni? Harap-harap semua dalam keadaan sihat walafiat.. Entry hari ni adalah autobiografi tentang pemadam.. Sebelum saya teruskan, saya nak tanya sikit, bila peperiksaan akhir tahun sekolah pembaca? Saya periksa pada 16/10.. Hmm.. saya kena study selepas meng-update blog ni.. Okeylah, tanpa membuang masa, jom kita baca! 
Seorang pelajar tadika berhati-hati menulis. Jika tulisan tidak seperti yang diharapkan, dicapainya pemadam. Padam dan kemudian dia menulis lagi. Tulisan yang dipadam beberapa kali jelas meninggalkan kesan comot pada kertas. 

Sudahlah begitu, bekas contengan masih lagi kelihatan akibat pensel yang ditekan kuat. Jika tersilap, kertas juga boleh terkoyak akibat kerap dipadam. akhirnya dia serik.

Menoleh Susur Galur 
Asal usulku daripada pokok getah. Selesai ditoreh, susu getah akan mengalir perlahan ke dalam bekas yang diikat pada pokok. Lelehan susu getah yang keluar akan mengeras dan dipanggil getah sekerap.

Ketika itu, bau getah yang menusuk hidung manusia adalah suatu gangguan bagi mereka. Walaupun biasa bagi penoreh getah, tetapi tidak selesa bagi kebanyakan orang.

Dengan getah, aku membina kehidupan sesuai dengan perananku nanti. Mengenal asal usul penciptaanku mampu membuatkan aku sedarakan hakikat perhambaan. Begitu juga, walaupun hebatnya seorang manusia, ternyata asal mereka daripada air mani yang hina.

Dengan anugerah akal, barulah manusia belajar sedikit demi sedikit mengenal kehidupan. Jadi, apa sahaja yang boleh dibanggakan?

Dengan jiwa hamba, pandangan orang lain sama ada berbentuk kritikan atau pujian tidak sekali-kali membuatkan aku jatuh atau berasa terlalu selesa. Berada di atas tidak membuatkan aku lupa ketinggian cenderung menyebabkan kesakitan yang lebih sekiranya jatuh nanti.

Ya, kehidupan seperti roda. Jika sekarang berada di atas, tidak mustahil akan datang aku boleh jatuh terperosok ke bawah. Diguna apabila perlu, satu hari nanti menjadi sisa-sisa pemadam yang menunggu masa untuk dibuang.

U-Turn Mencari Destinasi
Sinonim dengan kesalahan, apabila berlaku kesilapan dalam penulisan dan lukisan, aku akan dicari. Timbul satu persoalan; antara pemadam dengan pensel, yang mana lebih penting? Jawabnya gagasan pemikiran orang yang menulis dan melukis!

Kelancaran dalam menulis bukan hanya bergantung pada pensel yang diguna, tetapi lebih utama pada mereka yang menulis. Faktor seperti latihan yang berterusan dan persediaan awal antara yang diambil kira.

Apabila kerap menulis dan melukis, kesilapan boleh diminimumkan. Tetapi hampir mustahil untuk dihapuskan. Sebab itu pensel dicipta bersamaku.

Kesalahan adalah perkara biasa bagi manusia. Jika melalui jalan yang lurus dan mudah tidak semestinya jalan tersebut betul. Ada masanya mereka perlu U-turn, mencari jalan lain untuk sampai ke destinasi yang sebenar.

Seperti fungsiku, apabila berjumpa kesalahan aku hadir untuk kembali membetulkannya. Tetapi sedikit berbeza dengan manusia. Betapa beruntungnya mereka, kesalahn yang dilakukan selalunya ditutup oleh Allah daripada pandangan manusia lain.

Selagi mereka tidak bercerita, selagi itu aib mereka dijaga. Berbanding kesan tulisan, walaupun aku sudah diguna, kesannya masih lagi kelihatan.

Memang manusia dicipta tidak sempurna; mudah berbuat salah. Tetapi sebaik-baik mereka adalah yang bertaubat atas kesalahan yang dibuat. Seperti pelajar tadika yang sudah serik menulis di atas kertas yang buruk dan hampir terkoyak.

Sudah sampai masa manusia secara fitrahnya kembali kepada Allah. Sebagai insan baru yang memulakan tulisan kehidupan di atas kertas perjalanan hidup yang baru. Ketika itu, belajarlah untuk berhati-hati menulis.
Thanks to : 

No comments :